Aku kecewa dengan dia. Aku tahu dan sedar aku bukan seorang manusia mulia di muka bumi Allah. Tapi aku mencuba untuk tidak membiarkan diri aku terus hanyut, sedikit demi sedikit. Aku cuba... selagi boleh. Aku sayangkan dia, lebih daripada apa yang dia tahu. Bertemankan dia selama ini, hidup aku senang. Aku punya teman bergembira, mengadu nasib, teman bersiar, teman melepak juga teman ketika sedih. Teman untuk berkongsi, bak kata orang. Aku tak mahu kehilangan dia. Walaupun pertemuan kami singkat, namun aku berharap kami kekal hingga ke akhir hayat.
Aku cuba memperingatinya, akan janji-janji yang ditaburkan dulu. Mana perginya janji-janji itu? Dia kata dia mahukan perubahan. Aku juga mahukan perubahan. Namun kini aku lihat dia lebih gemar bersama teman baru. "Soulmate" katanya. Teman yang punya citarasa yang sama. Kutanya, "sudah kenal isi kulitnya kah?". Dia bilang, "soulmate tidak semestinya sudah kenal lama". Aku diam. Aku akur. Bersama teman baru, ku lihat dia berubah menjadi 'baru'. Aku mengerti, manusia berubah mengikut peredaran masa tapi bukan ini perubahan yang aku mahu lihat pada dia. Dulu dia tidak seperti ini. Kami punya banyak kenangan bersama. Suasana apabila bersama juga sudah tidak sama seperti dulu lagi. Entah, aku sendiri sukar untuk huraikan di sini. Hanya hati aku saja yang tahu.
Bila aku cuba bersuara, dia bilang aku juga sama seperti dia. Maksudnya, aku juga melakukan satu dosa tetapi mahu cuba membetulkan orang lain. Ketam cuba mengajar anaknya berjalan, tetapi dia sendiri berjalan serong, itu bak kata pepatah Melayu. Aku tahu itu dan aku akuinya dengan hati yang terbuka. Namun sudah aku katakan dari awal lagi, aku memang bukan manusia mulia. Aku fikir dia juga tahu akan hal ini. Makanya, segala yang aku sudah pesan pada dia hanya sekadar angin kosong di cupingnya. "Perlukan masa untuk difikiri", kata dia lagi.
Tak mengapa, bak kata dia, kita adalah khalifah Allah di muka bumi Nya di mana tugas kita adalah untuk memperingati satu sama lain. Ya, aku sudah cuba sebaiknya untuk melaksanakan itu. Tetapi, bagaimana pula dengan khalifah lain yang cuba merosakkan seorang khalifah yang lain? Mungkin dia boleh membantu aku untuk mengerti akan hal ini.
Aku kira kini dia lebih gembira bersama teman baru. Tak mengapa. Aku masih di sini setia menunggu dia. Aku suka dia, aku sayang dia, aku cinta dia. Dan aku harap dia mengerti itu. Atau mungkin aku hanya mampu melihat dia pergi....
No comments:
Post a Comment